Sejarah PPTD

Logo PPTD

Lambang Persatuan ialah sepasang harimau berjuang melindungi melindungi huruf-huruf PTD yang mendokong lambang bulan bintang Malaysia dilingkungi oleh suatu bulatan di tengah suatu perisai. Warna rasmi lambang persatuan ialah kuning dan biru. Tafsirannya: Penyatuan tenaga ahli-ahli bagi mempertahankan kedaulatan negara dalam lingkungan Perkhidmatan Awam. Dengan sepotong ayat lambang persatuan bermakna taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara memerlukan penglibatan kesemua peringkat pegawai PTD.

 

Cogankata PPTD

'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA DENGAN MENGAMALKAN KEPIMPINAN BERTELADAN'.

 

Objektif PPTD

  • Menyemaikan perasaan berpersatuan dan meningkatkan semangat kerjasama di antara ahli-ahli.
  • Menyatukan tenaga ahli-ahli dan menjaga kepentingan mereka.
  • Memupuk kesedaran ahli-ahli akan tanggungjawab berkaitan dengan jawatan yang mereka sandang.
  • Meluaskan pengalaman dan pengetahuan serta meninggikan kebolehan ahli-ahli dalam menjalankan tugas mereka.
  • Mengembelingkan tenaga ahli-ahli bagi memainkan peranan yang berkesan dalam usaha-usaha pembangunan untuk negara dan rakyat
  • Memastikan PPTD sebagai perkhidmatan terpenting dan utama dalam negara.
  • Memupuk hubungan baik dengan pucuk pimpinan serta dengan perkhidmatan lain dalam perkhidmatan awam serta swasta

 

Sejarah PPTD

1826

Pulau Pinang, Melaka dan Singapura diambil alih pentadbirannya dari East India Company dan dijadikan Crown Colony di bawah pemerintahan Kerajaan Inggeris. Para pentadbirnya terdiri daripada anggota Eastern Cadetship Service.

1865

Atas perakuan Jawatankuasa Robinson, Straits Settlements Civil Service ditubuhkan. Pegawai-pegawai diambil dari Britain dan dilantik oleh Colonial Office ke jawatan Straits Cadetship dengan gaji 200 setahun. Frank Swettenham yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam perkhidmatan awam Tanah Melayu adalah antara pegawai-pegawai muda yang dilantik ke jawatan ini dalam tahun 1871.

1874

Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 25 Januari. Dengan perjanjian ini, negeri Perak jatuh ke tangan pemerintahan Inggeris yang menubuhkan sistem pemerintahan Residen yang dilantik oleh Gabenor Negeri-negeri Selat dengan persetujuan Colonial Secretary di London. Residen Inggeris melantik pegawai-pegawai yang membantunya menjalankan urusan pentadbiran awam dan undang-undang. Residen yang pertama ialah James W.W. Birch yang kemudiannya mati dibunuh.

1875

Selangor menerima pentadbiran secara Residen dan Frank Swettenham dilantik menjadi Penasihat kepada Sultan Abdul Samad di Kuala Langat. Kemudian, J.G. Davidson dilantik menjadi Residen  bagi Negeri Selangor berpusat di Klang dan Swettenham menjadi Penolong Residen.

1876

Pegawai Inggeris ditempatkan di Sungai Ujong bagi menjalankan tugas-tugas Residen. Sistem Residen ditubuhkan apabila kerajaan Negeri Sembilan diwujudkan dalam tahun 1889.

1888

Sistem pentadbiran Residen ditubuhkan di Negeri Pahang.

1896

Penubuhan Federated Malay States (Negeri-negeri Melayu Bersekutu) yang mengandungi Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Sistem pentadbiran secara Persekutuan dilaksanakan dengan menggabungkan perkhidmatan-perkhidmatan awam negeri-negeri itu dan Perkhidmatan Awam Negeri-negeri Selat (Straits Settlements) ke dalam satu perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service. Anggota-anggota perkhidmatan SS&FMS ini boleh ditempatkan dan ditukar ke mana-mana negeri dalam Persekutuan dan Straits Settlements. Ketua pentadbiran bagi FMS ialah Residen General. Jawatan ini kemudian ditukar menjadi Chief Secretary, kemudian Federal Secretary dan akhirnya ditukar semula kepada Chief Secretary. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen General yang pertama (1896 – 1903).

1904

Malayan Civil Service (MCS) diwujudkan khas untuk pegawai British.

1909

Negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang selama ini dianggap oleh Kerajaan Inggeris sebagai ‘Siamese Malay States’ diserahkan secara rasmi oleh Kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Kerajaan Inggeris menubuhkan sistem pentadbiran Penasihat Inggeris (British Adviser) di negeri-negeri ini dan juga Johor. Negeri-negeri ini dinamakan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu atau Non-Federated Malay States. Selain daripada Penasihat British, jawatan pentadbiran negeri-negeri ini disandang oleh pegawai-pegawai Melayu dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri. Pegawai Inggeris yang ditempatkan di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu ini diambil daripada Perkhidmatan SS&FMS Civil Service.

1910

Skim Perkhidmatan Pegawai-pegawai Melayu ditubuhkan. Keanggotaannya dipilih daripada mereka yang diasuh dan dilatih di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang ditubuhkan terutamanya bagi maksud ini dalam tahun 1905. Dalam tahun 1938, perkhidmatan ini menjadi Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay Administrative Service).

1921

Malayan Civil Service (Perkhidmatan Tadbir Malaya) dibuka kepada pegawai-pegawai Melayu.

1950

Malayan Civil Service Association didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

1956

Perkhidmatan Luar Negeri  atau External Affairs Service (EAS) ditubuhkan.

1966

Pemansuhan Perkhidmatan Tadbir Malaya (Malayan Civil Service) dan Perkhidmatan Luar Negeri dan digantikan dengan Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia (PDLN) atau Malaysian Home and Foreign Service.

1971

Pertukaran nama kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Admninistrative and Diplomatic Service (ADS).