Perlembagaan

PERLEMBAGAAN PERSATUAN PERKHIDMATAN

TADBIR DAN DIPLOMATIK, MALAYSIA

MUKADIMAH

PERSATUAN PERKHIDMAT TADBIR DAN DIPLOMATIK

DIDAFTARKAN DI BAWAH AKTA PERTUBUHAN 1966

DENGAN NOMBOR PENDAFTARAN 24 (SELANGOR)

PersatuanPersatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik
P.T.D.Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik
M.A.T.Mesyuarat Agung Tahunan
Jawatankuasa UtamaJawatan-jawatan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha
Kehormat dan Bendahari adalah ditakrifkan sebagai
jawatankuasa Utama.

BAB 1 : NAMA DAN DASAR

Fasal 1(a) Nama persatuan ini ialah Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik

(b) Singkatan nama persatuan ialah P.P.T.D.

(c) P.P.T.D. adalah berdasarkan semangat bekerjasama kearah peningkatan mutu Perkhidmatan Awam. Persatuan tidak berpuak ke kiri atau kanan ianya tidak bersiasah parti.

BAB II : LAMBANG, LAGU DAN COGAN

Fasal 2(a) Lambang Persatuan ialah – sepasang harimau berjuang melindungi huruf huruf P.T.D. yang mendokong lambang bulan bintang Malaysia dilingkungi oleh suatu bulatan di tengah suatu perisai. Warna-warna rasmi lambang persatuan ialah kuning dan biru.

Taksirannya:
Penyatuan tenaga ahli-ahli bagi mempertahankan kedaulatan negara dalam Lingkungan Perkhidmatan Awam. Dengan sepotong ayat lambang persatuan bermakna taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara memerlukan penglibatan ke semua peringkat pegawai P.T.D.

(c) Cogan kata P.P.T.D. ialah “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA DENGAN MENGAMALKAN KEPIMPINAN BERTELADAN”.

BAB III : IBU PEJABAT/ALAMAT POS

Fasal 3(a) Ibu Pejabat P.P.T.D. beralamat:
515, Persiaran Sultan Salahuddin, 50480 Kuala Lumpur.
Ibu Pejabat P.P.T.D. dan alamat pos PPTD ialah:
No. 515, Persiaran Sultan Salahuddin, 50480 Kuala Lumpur.2

(b) Alamat Ibu Pejabat dan Alamat Pos Persatuan tidak boleh diubah dengan tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu

BAB IV : TUJUAN

Fasal 4Tujuan Persatuan ialah:-
(a) Menyatukan tenaga ahli-ahli dan menjaga kepentingan mereka

(b) Meluaskan pengalaman dan pengetahuan, serta meninggikan kebolehan ahli-ahli dengan menjalankan tugas mereka

(c) Menyatu dan menyalurkan tenaga ahli-ahli Persatuan bagi memainkan peranan yang berkesan dalam usaha-usaha pembangunan untuk negara dan rakyat

(d) Menyemaikan perasaan persatuan di antara ahli-ahli

(e) Meningkatkan semangat berkerjasama di antara ahli-ahli

(f) Mempastikan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik adalah perkhidmatan terpenting dan utama di dalam negara

(g) Memupuk kesedaran di antara ahli-ahli akan tanggungjawab yang berkait dengan jawatan yang disandang oleh ahli-ahli

(h) Memupuk perhubungan dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain dalam Perkhidmatan Awam dan Swasta yang dasarnya tidak bertentangan dengan dasar persatuan

BAB V : LANGKAHAN

Fasal 5Dengan maksud supaya persatuan akan bertambah kembang, kuat dan berkebolehan untuk mencapai cita-citanya. Jawatankuasa Kerja bersama-sama ahli-ahlinya akan mengambil langkah-langkah berikut:-

(a) Meningkatkan kesedaran di kalangan ahli-ahli bahawa Perkhidmatan untuk Negara adalah satu ideal dan asas utama di dalam Perkhidmatan Awam

(b) Menegakkan mutu tatasosial yang tinggi di dalam perkhidmatan awam

(c) Berusaha dan berikhtar untuk menyediakan peluang-peluang pelajaran dan latihan

(d) Menghimpun dan menyiarkan berita dan bahan-bahan ilmiah sama ada melalui penerbitan sendiri atau/dan sebaran am dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan persatuan dan PTD

(e) Menganjurkan seminar-seminar, kursus-kursus, ceramah, forum dan perbincangan untuk ahli-ahli

(f) Menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial dan rekreasi

(g) Menjalankan kegiatan melabur, memiliki harta atau kegiatan tidak bercanggah dari segi kepentingan perkhidmatan

(h) Menjaga hak-hak dan kepentingan ahli-ahli

BAB VI : KEAHLIAN

Fasal 6Ahli-ahli Persatuan ialah :-
(a) Ahli Biasa
Setiap pegawai PTD adalah layak menjadi ahli biasa persatuan

(b) Ahli Seumur Hidup
Ahli-ahli biasa adalah layak memohon menjadi ahli seumur hidup tertakluk kepada syarat menjelaskan yuran seperti yang ditetapkan ‘

(c) Ahli Besekutu
Tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Kerja orang-orang seperti yang tercatat di bawah layak menjadi ahli bersekutu:
(i) Orang-orang yang pernah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri atau ;
(ii) Orang-orang yang pernah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Tadbir Malaya (Malayan Civil Service)
(iii) Orang-orang yang pernah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik

(d) Ahli Kehormat
Mesyuarat Agung boleh memutuskan dengan secara terbanyak untuk menganugerahkan taraf Ahli Kehormat kepada mana-mana perseorangan yang pada pendapat mesyuarat tersebut telah berjasa atau telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.

BAB VII : HAK-HAK AHLI

Fasal 7Ahli-ahli mempunyai hak seperti berikut:-
(a) Ahli Biasa
Ahli-ahli biasa berhak mengundi, diundi, menyuarakan pendapat di dalam mesyuarat agung dan berhak mendapat segala kemudahan yang tersebut di dalam perlembagaan.

(b) Ahli Seumur Hidup
Ahli-ahli seumur hidup mempunyai hak yang sama dengan ahli-ahli biasa di dalam persatuan.

(c) Ahli Bersekutu
(i) Ahli-ahli bersekutu boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti persatuan tetapi tidak berhak mengundi, melantik dan dilantik memegang jawatan.4
(ii) Menarik diri dari menjadi ahli.

(d) Ahli Kehormat
(i) Ahli-ahli Kehormat berhak menerima segala kemudahan persatuan tetapi tidak berhak mengundi, melantik dan dilantik memegang mana-mana jawatan dalam persatuan.
(ii) Menarik diri dari menjadi ahli.

BAB VIII : KEWAJIPAN AHLI-AHLI

Fasal 8Kewajipan Ahli-ahli ialah:-
(a) Menjunjung kedaulatan perlembagaan.
(b) Berikhtiar menjayakan segala keputusan Mesyuarat Agung.
(c) Mempereratkan tali persaudaraan dan kekeluargaan antara ahli-ahli.
(d) Membayar yuran ditetapkan atau sebarang bayaran selain daripada yang ditetapkan.
(e Menyempurnakan segala kerja dan rancangan-rancangan yang dipinta laksanakan oleh Jawatankuasa Kerja dari masa ke semasa.

BAB IX : CARA MENJADI AHLI, MENARIK DIRI DAN PECATAN

Fasal 9Cara-cara menjadi ahli adalah seperti berikut:-
(a) Ahli Biasa
(i) Setiap pegawai PTD adalah layak memohon menjadi ahli
(ii) Setiap ahli akan diberi nombor keahlian oleh Jawatankuasa Kerja

(b) Ahli Seumur Hidup
(i) Tertakluk kepada syarat menjelaskan yuran yang ditetapkan ahli-ahli biasa boleh memohon kepada Jawatankuasa Kerja untuk menjadi ahli seumur hidup.
(ii) Persetujuan bertulis berserta nombor keahlian ahli seumur hidup akan diberi oleh Jawatankuasa Kerja.

(c) Ahli Bersekutu
(i) Orang-orang yang layak menjadi ahli bersekutu boleh membuat permohonan secara bertulis kepada Jawatankuasa Kerja untuk menjadi ahli bersekutu.5
(ii) Ahli seumur hidup apabila berhenti dari P.T.D. adalah secara otomatik menjadi ahli bersekutu tetapi dikecualikan daripada bayaran keahlian.
(iii) Keputusan penerimaan Jawatankuasa Kerja adalah berasakan suara terbanyak.
(iv) Keputusan Jawatankuasa Kerja akan disampaikan secara bertulis dan nombor keahlian akan diberi.

(d) Ahli Kehormat
(i) Jawatankuasa Kerja ataupun mana-mana ahli boleh mencalonkan di dalam Mesyuarat Agung orang-orang perseorangan yang mahu dianugerahkan taraf Ahli Kehormat
(ii) Keputusan penganugerahan adalah atas suara terbanyak ahli-ahli yang hadir di Mesyuarat Agung
(iii) Jawatankuasa Kerja akan menyampaikan secara bertulis penganugerahan Ahli Kehormat
(iv) Calon yang dianugerahkan tidak boleh dipaksa untuk menerima penganugerahan tersebut
(v) Mesyuarat Agung yang berikutnya hendaklah dilaporkan sekiranya penganugerahan tersebut ditolak oleh calon.
Fasal 10Mana-mana ahli yang hendak menarik diri dari PPTD mestilah memberitahu Jawatankuasa Kerja dua bulan terlebih dahulu. Penarikkan diri tidak diakui sah sebelum menerima jawapan rasmi dari Jawatankuasa Kerja menyatakan tidak ada apa-apa hutang atau harta kepunyaan persatuan yang masih di dalam simpanan.
Fasal 11(a) Jawatankuasa Kerja berhak memberhentikan seorang ahli jika ia didapati dari laporan-laporan atau makluman bahawa kegiatan dan kelakuan yang dilakukan oleh ahli berkenaan mencemarkan atau boleh mencemarkan nama baik persatuan. Keputusan Jawatankuasa Kerja itu mestilah mengikut dua pertiga suara Ahli Jawatankuasa Kerja.
(b) Seseorang ahli yang dipecat boleh menyuarakan perkaranya di dalam masa tidak lewat dari 12 bulan ditimbang oleh Mesyuarat Agung adalah keputusan suara terbanyak ahli yang hadir dan adalah muktamat.

BAB X : SUSUNAN DAN URUSAN

Fasal 12PPTD adalah diuruskan mengikut bentuk susunan seperti berikut:-
(a) Mesyuarat Agung Tahunan
(b) Mesyuarat Agung Luar Biasa
(c) Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang terdiri dari 15 orang iaitu 11 orang dipilih Di dalam Mesyuarat Agung (Mengikut perlembagaan Bab X Fasal 13 vii) dan 4 orang yang dilantik oleh Presiden6
Fasal 13Mesyuarat Agung
(a) Mesyuarat agung ialah Badan Pentadbiran yang tertinggi sekali

(b) Mesyuarat Agung Tahunan akan diadakan setahun sekali di antara bulan Januari dan Jun, yang akan diberitahu oleh ibu pejabat P.P.T.D. sekurang-kurangnya dua minggu sebelum Mesyuarat Agung diadakan; tetapi Jawatanuasa Kerja hendaklah dipilih dua tahun sekali. Agenda termasuk Penyata Kira-kira bagi tahun kewangan lalu yang telah diauditkan, hendaklah dihantar kepada ahli-ahli bersama notis mesyuarat itu.

(c) Mesyuarat Agung dihadiri oleh:-
(i) Ahli-ahli jawatankuasa kerja
(ii) Ahli-ahli biasa persatuan
(iii) Ahli Seumur Hidup
(iv) Ahli-ahli Bersekutu
(v) Ahli-ahli Kehormat

(d) Bilangan untuk mencukupi Mesyuarat Agung Tahunan mestilah sekurang-kurangnya 45 orang ahli yang berhak mengundi. Kehadiran dalam mesyuarat agung boleh dilakukan sendiri atau secara proksi bertulis oleh ahli-ahli. Seorang ahli tidak boleh memegang lebih dari satu proksi.

(e) Sekiranya berlaku keadaan tidak cukup korum untuk menjalankan mesyuarat agung, Pengerusi hendaklah menundakan mesyuarat itu kepada satu tarikh selepas 14 hari dari tarikh asal mesyuarat. Agenda bagi mesyuarat yang ditunda itu hendaklah sama dengan agenda yang telah ditetapkan di dalam mesyuarat asalnya. Mesyuarat agung yang ditundakan boleh dijalankan tanpa mengira korum.

(f) Mesyuarat Agung berkuasa untuk:-
(i) Menimbangkan langkah-langkah Persatuan masa hadapan.
(ii) Menubuhkan sesuatu tabung atau projek untuk faedah persatuan dan ahli-ahli.

(g) Susunan Mesyuarat Agung Tahunan adalah seperti berikut:-
(i) Melantik seorang Pengerusi dan dua orang Setiausaha Mesyuarat.
(ii) Ucapan dasar Presiden,
(iii) Mengesahkan peringatan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa.
(iv) Membentangkan dan menerima laporan kemajuan tahunan.
(v) Membentangkan, menerima dan meluluskan penyata kewangan yang telah diaudit.7
(vi) Pindaan perlembagaan (Sekiranya ada).
(vii) Memilih Jawatankuasa Kerja dua tahun sekali yang terdiri dari:-
1. Seorang Presiden
2. Seorang Naib Presiden
3. Seorang Setiausaha Kehormat
4. Seorang Bendahari
5. 7 Orang ahli Jawatankuasa
(viii) Memilih 2 orang pemeriksa kira-kira
(xi) Membincangkan usul-usul yang telah dihantar kepada Urusetia sekurang-kurangnya seminggu sebelum Mesyuarat Agung dijalankan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja;
(ix) Ucapan penangguhan

(h) Segala keputusan Mesyuarat Agung hendaklah mengikut suara ramai ahli-ahli yang hadir kecuali keputusan berkaitan dengan perlembagaan yang memerlukan suara dua pertiga ahli-ahli yang hadir;
(i) Mesyuarat Agung hendaklah dijalankan berpandukan dan bertaklidkan Peraturan Mesyuarat Agung yang dipersetujui oleh persidangan;
(ii) Beberapa Jawatankuasa Kecil boleh dibentuk bagi menguruskan hal ehwal Mesyuarat Agung seperti Jawatankuasa Usul, Jawatankuasa Kecil Tauliah (kalau perlu). Tugas-tugas Jawatankuasa Kecil adalah
berkuatkuasa seperti di dalam peraturan tetap mesyuarat.
Fasal 14Mesyuarat Agung Luar Biasa
(a) Mesyuarat Agung Luar Biasa akan dipanggil di atas kehendak Jawatankuasa Kerja atau dengan permohonan bertulis oleh sekurang-kurangnya 30 orang ahli yang berhak mengundi.

(b) Notis memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah dihantar tidak kurang dari 14 hari sebelum mesyuarat diadakan. Notis itu juga hendaklah mengandungi perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Perkara-perkara yang tidak dimasukkan di dalam notis tersebut tidak boleh dibincangkan.

(c) Fasa 13 (d) berkenaan korum M.A.T. hendaklah digunakan untuk maksud Mesyuarat Agung Luar Biasa, dan sekiranya tidak cukup korum, Pengerusi akan mengistiharkan mesyuarat dibatalkan. Jika mereka yang bertanggungjawab meminta mesyuarat diadakan di bawah fasal 14 (a) ingin diadakan mesyuarat lain, maka tindakan yang sama seperti yang terkandung di dalam fasal 14 (a) dan (b) hendaklah dibuat semula.8
Fasal 15Jawatankuasa Kerja
(a) Jawatankuasa Kerja adalah Badan Tertinggi P.P.T.D. sesudah Mesyuarat Agung Jawatankuasa Kerja berkuasa menjalankan segala dasar dan tujuan P.P.T.D dalam menyelenggarakan segala rancangan Mesyuarat Agung dan keputusan mesyuarat jawatankuasa.

(b) Jawatankuasa akan dipilih secara undi dalam mesyuarat agung tahunan dan akan memegang jawatan selama 2 tahun hingga ke mesyuarat agung tahunan yang berkenaan selepas genap tempuh 2 tahun. Sebarang kekosongan di dalam jawatankuasa kerja yang berlaku sebelum mesyuarat agung tahunan
akan diisikan oleh jawatankuasa kerja yang lain dengan secara undi daripada ahli-ahli jawatankuasa yang ada atau dengan memilih ahli-ahli persatuan yang lain.

(c) Mana-mana ahli Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada seorang yang ditunjuk oleh Presiden dari kalangan ahli-ahli biasa dan ahli-ahli seumur hidup boleh diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja dengan suara ramai.

(d) Tugas-tugas Jawatankuasa Kerja ialah:-
(i) Presiden
Mempengerusikan segala mesyuarat persatuan kecuali Mesyuarat Agung dan ia adalah bertanggungjawab terhadap kelancaran mesyuarat tersebut. Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani semua catatan mesyuarat apabila diluluskan. Ia berhak memperakukan kepada jawatankuasa kerja mana-mana ahli
yang bersesuaian untuk dijadikan ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik, tertakluk kepada jumlah empat (4) orang.

(ii) Naib Presiden
Seseorang Naib Presiden adalah bertanggungjawab membantu tugas -tugas Presiden mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja apabila Pengerusi tidak hadir, memangku jawatankuasa Presiden jika Presiden berhenti dengan apa-apa sekalipun sehingga Presiden baru Dipilih.

(iii) Setiausaha Kerhormat
Menjalankan segala tugas-tugas pentadbiran persatuan mengikut perlembagaan dan peraturan-peraturan persatuan dan ia hendaklah menjalankan segala ketetapan dan keputusan mesyuarat agung dan
mesyuarat jawatankuasa kerja. Ia adalah bertanggungjawab tentang surat menyurat sama ada perhubungan dalam persatuan mahupun dengan pihak-pihak luar serta menyimpan segala buku-buku dan
surat-surat persatuan.

(iv) Bendahari
Bertanggungjawab dalam soal kewangan P.P.T.D. Ianya hendaklah menyimpan kenyataan keluar masuk kewangan, ianya bersama-sama seorang ahli jawatankuasa utama hendaklah menandatangani segala
cek-cek pihak persatuan dan mengendalikan surat-surat kewangan persatuan. Bendahari hanya boleh menyimpan wang tunai dalam 9 tangan tidak lebih dari RM200.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus
Sahaja) bagi satu-satu masa

(v) Lain-lain Anggotan Jawatankuasa Kerja
Ditetapkan tugasnya oleh mesyuarat jawatankuasa Kerja yang pertama. Setelah dilantik mengikut aktiviti–aktiviti yang akan dijalankan di dalam ketiadaan Presiden dan Naib Presiden, salah seorang dari ahli jawatankuasa boleh dilantik mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa mengikut suara terbanyak. Apabila berlaku sesuatu tempoh pentadbiran dan jika didapati perlu, salah seorang dari ahli jawatankuasa boleh dilantik berdasarkan suara terbanya jawatankuasa untuk memangku kekosongan jawatan tersebut.

(e) Mesyuarat biasa jawatankuasa kerja hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 3 kali setahun untuk mengatur dan mengkaji kerja-kerja yang dijalankan. Kiranya mustahak, Jawatankuasa Kerja boleh membincangkan satu-satu perkara mengikut keadaan. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad jika
tidak dibatalkan Mesyuarat Agung.

(f) Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja diadakan dengan permintaan Presiden atau sekurang-kurangnya lima (5) orang ahli jawatankuasa kerja dalam masa tiga minggu sesudah permintaan itu.

(g) Pemberitahuan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja hendaklah sampai sekurang-kurangnya satu minggu sebelum mesyuarat. Pemberitahuan mesyuarat khas boleh dibuat dalam tempuh 24 jam.

(h) Bilangan untuk mencukupi mesyuarat Jawatankuasa Kerja ialah setengah daripada jumlah Jawatankuasa Kerja.

(i) Ahli Jawatankuasa Kerja yang tidak dapat hadir di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja hendaklah memberitahu pengerusi mesyuarat sebab keuzurannya.

(j) Jawatankuasa Kerja berkuasa untuk melantik sesuatu Jawatankuasa am/atau jawatankuasa kecil untuk mengambil tindakan-tindakan serta merta dan menetapkan kerja-kerjanya. Segala keputusan adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Kerja.

(k) Jawatankusa Kerja berkuasa memilih seorang atau lebih daripada ahli-ahli persatuan di dalam mana-mana negeri atau wilayah yang mempunyai ahli tidak kurang daripada 30 orang untuk menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan di negeri atau wilayah terebut.

(l) Jawatankuasa Kerja boleh mendatangkan syor bagi meminda atau menambah akan perlembagaan persatuan yang sedia ada untuk ditimbangkan di dalam mana-mana Mesyuarat Agung.

(m) Jawatankuasa Kerja boleh dengan suara 2/3 ahli Jawatankuasa Kerja menggantungkan jawatan mana-mana ahi jawatankuasa kerja yang didapati pecah amanah, melakukan perbuatan yang mencemarkan nama baik persatuan atau tidak hadir mesyuarat jawatankuasa kerja persatuan tiga kali berturur-turut tanpa notis sehingga Mesyuarat Agung yang akan datang.Tindakan ini hendaklah dilaporkan kepada Mesyuarat Agung untuk mendapatkan keputusan melucutkan jawatan ahli tersebut.10

(n) Jawatankuasa kerja boleh memberi teguran, pandangan, dan nasihat di atas perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada persatuan dan ahli-ahli sesuai dengan perlembagaan Persatuan.

(o) Jawatankuasa Kerja berkuasa memanggil satu-satu Mesyaurat Agung Luar Biasa kerana membincangkan satu-satu perkara penting.

BAB XI : KEWANGAN

Fasal 16Punca Kewangan
(a) Daripada bayaran masuk ahli sebanyak RM 10.00 seorang

(b) Daripada yuran ahli-ahli :-
(i) Ahli biasa sebanyak RM 60.00 setahun
(ii) Ahli seumur hidup sebanyak RM 100.00 (Sekali sahaja untuk selama-lamanya)
(iii) Ahli Bersekutu sebanyak RM 50.00 setahun

(c) Daripada lain-lain punca halal dan tidak bercanggah dari segi undang-undang dan peraturan-peraturan awam.
Fasal 17Akaun Bank
(a) Wang pertaruhan hendaklah disimpan di dalam bank yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja.

(b) Akaun bank persatuan hendaklah di bawah nama peratuan. Cek-cek yang dikeluarkan hendaklah mempunyai tandatangan Bendahari dan mana-mana seorang daripada ahli-ahli jawatankuasa utama yang lain.
Fasal 18Jawatankuasa Kerja akan merancangkan kira-kira perbelanjaan dan pendapatan persatuan dan berkuasa mengurangkan atau menambah perbelanjaan mengikut keadaan.
Fasal 19Tahun kewangan persatuan akan bermula pada 1hb Januari dan berakhir 31hb Disember setiap tahun. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat agung yang berikutan.

BAB XIII : HARTA DAN PEMEGANG AMANAH

Fasal 20Harta : Persatuan adalah mempunyai kuasa untuk membeli, memajak atau memperolehi tanah dan membina di atasnya apa-apa bangunan dan kegunaan, atau hasil daripada tanah, atau bangunan itu adalah semata-mata untuk mencapai tujuan dan cita-cita Persatuan.11
Fasal 21Pemegang Amanah
(a) Bagi maksud pemilikan tanah atau lain-lain harta serta maksud pemegang amanah sebarang tabung amanah oleh Persatuan, maka hendaklah dilantikkan empat (4) orang pemegang Amanah dan tertakluk kepada satu Pengakuan Amanah.

(b) Pemegang Amanah hendaklah dilantik oleh Mesyuarat Agung daripada orang-orang yang berumur lebih daripada 21 tahun berwarganegara Malaysia dan tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah dan pecah amanah.

(c) Pemegang Amanah ini tidak berhak menjual, menggadai ataupun mencagar tanah atau harta Persatuan ini dengan tidak mendapat kebenaran Mesyuarat Agung. Perjanjian Amanah adalah tertakluk kepada satu laporan yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung dan bagi harta yang berbentuk tanah ‘Caveat Pemegang Amanah’ hendaklah didaftarkan.

(d) Jawatankuasa kerja berhak melucutkan jawatan seseorang pemegang amanah jika ianya seorang yang tidak berfikiran siuman, pecah amanah, melakukan jenayah yang disabit oleh Mahkamah Tinggi, yang pergi ke luar negeri atau tidak boleh lagi menjalankan kewajipannya. Pemegang Amanah yang dilucutkan jawatannya mengikut undang-undang ini berhak merayu kepada Mesyuarat Agung yang berkuasa memberi keputusan yang muktamad.

BAB XIII : CAWANGAN-CAWANGAN PERSATUAN

Fasal 22(a) Penubuhan dan Pembubaran Cawangan-cawangan

(i) Jawatankuasa Kerja boleh meluluskan penubuhan cawangan-cawangan di peringkat negeri, wilayah, kementerian atau jabatan-jabatan di dalam dan di luar negeri yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 orang ahli, dan berkuatkuasa setelah didaftarkan.

(ii) Jawatankuasa Kerja boleh membubarkan cawangan:-
(1) Jika bilangan ahli-ahli di dalam masa enam bulan berturut-turut kurang daripada 5, atau
(2) Jika cawangan tidak patuh kepada perlembagaan persatuan atau keputusan Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Kerja atau jika difikirkan bersalah oleh Jawatankuasa Kerja kerana perbuatan yang memburukkan nama baik persatuan.

(iii) Keputusan membubarkan cawangan hendaklah dengan undi terbanyak di dalam mesyuarat jawatankuasa kerja. Sekiranya pembubaran cawangan adalah disebabkan di dalam perenggan (ii)(2)
di atas, cawangan yang berkenaan hendaklah diberi satu kenyataan bertulis 30 hari terlebih dahulu dan peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dikenakan atau memberi sebab-sebab mengapa cawangan yang berkenaan ini tidak patut dibubarkan.

(iv) Sebarang cawangan yang muskil di atas perintah pembubaran boleh dengan kenyataan bertulis kepada Setiausaha Kehormat persatuan di dalam tempoh 30 hari daripada penerimaan perintah pembubaran, membuat rayuan kepada Mesuarat Agung tahunan persatuan. 12 Walaupun rayuan telah dibuat namun perintah pembubaran masih berjalan kuasanya sehingga dibatalkan tetapi di dalam keadaan yang demikian Jawatankuasa Kerja boleh melantik satu Jawatankuasa Pengurus dari ahli-ahli untuk menguruskan hal-hal cawangan itu sementara rayuan ditimbangkan.

(v) Adalah menjadi tanggungan kepada jawatankuasa bagi cawangan itu menyerahkan kepada Setiausaha Kehormat segala buku-buku, rekod-rekod, wang dan lain-lain harta yang dimiliki oleh cawangan itu berserta
dengan satu keterangan kira-kira cawangan sehingga tarikh perintah penutupan.

(b) Mesyuarat Agung Cawangan
(i) Tiap-tiap cawangan persatuan berhak menghadiri, bercakap dan hanya Ahli Biasa/Ahli Seumur Hidup berhak mengundi dan diundi dalam sebarang Mesyuarat Agung cawangannya.

(ii) Mesyuarat Agung cawangan hendaklah dipanggil oleh Jawatankuasa cawangan dalam masa 3 bulan setelah penutupan tahun kewangan Persatuan.

(iii) Agenda Mesyuarat Agung Cawangan akan mengandungi:-
(1) Laporan Tahunan
(2) Laporan Kewangan
(3) Perlantikan Jawatankuasa Cawangan dan dua orang juruaudit
(4) Perkara-perkara lain yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Cawangan

(iv) Suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan hendaklah diadakan:-
(1) Atas perintah Jawatankuasa Kerja
(2) Atas kehendak Jawatankuasa Cawangan atau
(3) Atas permintaan bertulis daripada tidak kurang dari 10 orang ahli-ahli cawangan yang berhak mengundi dengan menyatakan tujuan dan sebab diadakan mesyuarat itu.

(v) Suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa cawangan yang diadakan atas permintaan ahli-ahli akan diadakan tidak lewat dari 15 hari selepas diterima permintaan tersebut.

(vi) Sekurang-kurangnya separuh (1/2) dari jumlah ahli-ahli cawangan yang berhak mengundi mesti hadir di dalam sesuatu Mesyuarat Agung Cawangan untuk mengesahkan perjalanannya.

(c) Jawatankuasa Cawangan Perjalanan Cawangan-cawangan akan dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Cawangan yang mengandungi seorang Pengerusi, seorang Setiausaha , seorang Bendahari dan empat orang ahli.13

(d) Tugas-Tugas Pegawai-Pegawai Cawangan
(i) Pengerusi dalam masa jawatannya akan menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung Cawangan dan semua mesyuarat Jawatankuasa Cawangan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat-mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.
(ii) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja-kerja cawangan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa Cawangan. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan-catatan.
(iii) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan cawangan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek cawangan bersama-sama dengan salah seorang diantara Pengerusi dan Setiausaha cawangan.
(iv) Ahli-ahli Jawatankuasa cawangan hendaklah menolong pegawai pegawai Jawatankuasa cawangan menjalankan tugas-tugas mereka.

(e) Kewangan Cawangan
(i) Semua wang diterima oleh cawangan hendaklah disimpan di atas Cawangan di dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Pengerusi Cawangan, Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan. Cek-cek yang dikeluarkan hendaklah mempunyai tandatangan Bendahari dan salah seorang di antara Pengerusi atau Setiausaha Cawangan.
(ii) Semua wang buku-buku dan lain-lain harta Persatuan yang dipegang oleh mana-mana cawangan yang telah dibubarkan hendaklah dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Kehormat Persatuan, bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagai yang diterangkan di perenggan 22 (a) (v).

(f) Peruntukan-peruntukan umum mengenai cawangan
(i) Di mana peruntukkan khas tiada disebut di dalam Perlembagaan ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran cawangan-cawangan peruntukkan-peruntukkan yang berkenaan mengenai pentadbiran persatuan dan akan diikuti setakat mana yang sesuai.
(ii) Dari masa ke semasa Jawatankuasa Kerja boleh memberi arahan arahan kepada jawatankuasa cawangan mengenai pentadbiran cawangan.14

BAB XIV : PINDAAN PERLEMBAGAAN

Fasal 23Perlembagaan ini boleh dipinda atau ditambah oleh sekurang-kurangya dua pertiga ahli-ahli yang berhak mengundi dan hadir dalam Mesyuarat Agung dan segala pindaan atau tambahan tidak akan berjalan kuatkuasanya sebelum mendapatkan kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan.

BAB XV : PENJELASAN

Fasal 24(a) Jika takdirnya terbit satu-satu soal atau perkara berkenaan dengan tafsiran di dalam perlembagaan ini, maka Jawatankuasa Kerja berkuatkuasa membincang serta memberikan keputusannya. Dalam hal ini, keputusan Jawatankuasa Kerja adalah muktamad jika tidak di batalkan oleh Mesyuarat Agung.

BAB XVI : LARANGAN

Fasal 25(a) Rumah Persatuan tidak boleh digunakan untuk maksud selain daripada bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan dan dilarang melakukan sebarang kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang di Rumah Persatuan.

(b) Semua bentuk perjudian dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib dan ada pertaruhan tidak boleh dimainkan di dalam rumah persatuan.

(c) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh mencuba menghalang atau apa-apa cara juga menggangu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan di dalam undang-undang kesatuan sekerja 1959.

(d) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli ahli atau tidak atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli.

BAB XVII : PEMBUBARAN

Fasal 26(a) Persatuan tidak boleh dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang berhak mengundi dan yang hadir di Mesyuarat Agung.

(b) Sekiranya persatuan dibubarkan mengikut cara yang tersebut di dalam ceraian (a) di atas maka segala hutang dan tanggungan dijelaskan. Baki wang dan harta yang tinggal akan didermakan kepada sebarang badan yang dipersetujui oleh Mesyuarat Agung tersebut.

(c) Kenyataan pembubaran persatuan hendaklah disampaikan kepada pendaftar pertubuhan dalam masa empat belas hari daripada tarikh Persatuan diputuskan supaya dibubarkan.15

BAB XVIII : PEMANSUHAN

Fasal 27Segala Perlembagaan Persatuan yang dibuat sebelum ini adalah dimansuhkan.
Fasal 28Perlembagaan ini berjalan kuatkuasanya setelah diterima oleh Mesyuarat Agung dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
MINI SURVEY ON PPTD’S NEW TAB: MEMBERS’ BENEFITS
TINJAUAN MINI MENGENAI TAB BAHARU PPTD: KELEBIHAN AHLI
Please answer the following questions to help us understand more. Thank you!
Sila jawab soalan-soalan berikut untuk membantu kami memahami dengan lebih lanjut. Terima kasih!

Are you a PPTD Member?
Adakah anda merupakan ahli PPTD?

Clear selection

Did you experience any delays while browsing this website, especially the Members’ Benefits tab?
Adakah anda mengalami sebarang kelewatan semasa melayari laman sesawang ini, terutamanya tab Kelebihan Ahli?

Clear selection

How satisfied were you with the website’s content, especially on Members’ Benefits?
Sejauh manakah anda berpuas hati dengan kandungan laman sesawang ini, terutamanya mengenai Kelebihan Ahli?

Clear selection

Has this new tab on Members’ Benefits increased your awareness and perception of PPTD?
Adakah tab baharu mengenai Kelebihan Ahli ini berjaya meningkatkan kesedaran dan persepsi anda tentang PPTD?

Clear selection

Would you recommend this website to others, especially with the introduction of the new tab on Members’ Benefits?
Adakah anda akan mengesyorkan laman sesawang ini kepada orang lain, terutamanya dengan pengenalan tab baharu mengenai Kelebihan Ahli?

Clear selection